Ahad, Oktober 04, 2009

PAIRIN NAFI PELAWA ADIKNYA KEMBALI SEMULA KE PBS

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan menafikan bahawa beliau akan mempelawa adiknya Datuk Dr Jeffrey Kitingan, naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), supaya kembali semula ke PBS.

"Dia kini bersama parti politik lain dan bukan dengan Barisan Nasional (BN). Adalah jelas di mana dia mahu berada.

"Oleh itu, saya fikir tidak ada sesiapa boleh memujuk sesiapa pun untuk menyertai mana-mana parti yang mereka tidak mahu sertai," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PBS di sini pada Ahad.

"Jadi, bagi kami, ini tidak lagi menjadi isu spekulasi kerana kami semua tahu di mana dia (Jeffrey) berada sekarang dan di mana dia mahu berada," katanya ketika ditanya pendirian PBS dalam hal tersebut.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata jika Jeffrey ingin kembali semula ke PBS, dia perlu mengemukakan permohonan dan perlu melalui saringan sama seperti semua pemohon baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan