SINGAPURA, 24 Jun (Bernama) -- Syarikat kawalan dan keselamatan IT Sophos hari ini memberi amaran kepada pengguna internet supaya tidak memasukkan maklumat peribadi mereka di internet kerana ia boleh digunakan pihak lain untuk penipuan identiti.
Amaran oleh Sophos itu dibuat selepas laman web rangkaian sosial popular Facebook didapati mempunyai kelemahan yang membolehkan penggodam mengakses maklumat sensitif profil mengenai mana-mana laman yang mempunyai lebih 200 juta pengguna itu.
Dalam kenyataan di sini, Sophos berkata data seperti tarikh lahir, tempat lahir, jantina, anggota keluarga, status hubungan dan pandangan politik serta agama boleh diguna untuk melakukan penipuan identiti.
Pencipta blog FBHive.com mendapati hanya melalui godaman yang mudah boleh menunjukkan semua yang disenarai dalam panel "Maklumat Asas" ahli Facebook, walaupun maklumat itu disembunyikan oleh pengguna dengan mewujudkan keselamatan laman web.
Menggunakan lompang keselamatan, FBHive boleh mengakses maklumat peribadi mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg, Digg Founder Kevin Rose dan bloger terkenal Cory Doctorow, kata Sophos.
Bagaimanapun, ia berkata kekurangan itu kini diperbaiki oleh Facebook, tetapi tidak diketahui sama ada penggodam telah menggunakan maklumat yang didedah oleh kelemahan keselamatan itu untuk tujuan jenayah.
Syarikat IT menasihatkan adalah lebih baik pengguna internet untuk tidak meletakkan maklumat peribadi mereka dalam internet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan