KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Penduduk Kampung Bukit Koman di Raub, yang mendakwa mengalami masalah kesihatan daripada penggunaan sianida di projek lombong emas Bukit Koman, hari ini gagal mendapatkan kebenaran bagi semakan penghakiman untuk menghentikan projek itu.
Projek lombong emas itu bermula pada Februari tahun ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan menolak permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) bertarikh 13 Jan, 1997, bagi cadangan untuk melombong emas di lombong emas Bukit Koman.
Peguam yang mewakili penduduk berkenaan Jessica Ram Binwani memberitahu pemberita, Hakim Lau membuat keputuan itu dalam kamar selepas memutuskan penduduk berkenaan lambat memfailkan permohonan kebenaran itu yang sepatutnya difailkannya dalam tempoh 40 hari pengeluaran laporan PEIA.
Beliau berkata berkata hakim juga menolak dengan kos semua relif yang dipohon penduduk termasuk perintah untuk menghentikan projek dan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan laporan itu.
Katanya beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu minggu ini. Lebih 50 penduduk Kampung Bukit Koman hadir di mahkamah.
Seorang daripada penduduk berkenaan memberitahu pemberita bahawa projek itu terletak hanya kira-kira tiga meter dari rumah mereka.
Menurut Jawatankuasa Bertindak Terhadap Penggunaan Sianida dalam operasi perlombongan di Bukit Koman, penduduk Kampung Bukit Koman tidak diberikan jaminan bahawa penggunaan sianida tidak akan menjejaskan kesihatan mereka dan mencemarkan alam sekitar mereka, dan hanya sedar mengenai bahaya sianida selepas dimaklumkan oleh pakar sianida dari luar negara yang datang ke lombong itu.
Laporan PEIA diserahkan oleh Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) pada 27 Ogos, 1996, dan diluluskan pada 13 Jan, 1997.
Pada 21 Mac, 2008, empat wakil penduduk berkenaan yang terdiri daripada Wong Kin Hoong, Chong Sow Pin, Hue Fui How dan Mustapha Hussin memfailkan permohonan kebenaran untuk diisytiharkan bahawa laporan EIA bagi lombong yang dicadangkan itu dan pengorekan emas dari lombong lama di Bukit Koman, yang dikemukakan oleh RAGMSB kepada KP Alam Sekitar, tidak memenuhi syarat dan peraturan dalam Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
Dalam permohonan yang menamakan KP Alam Sekitar dan RAGMSB sebagai responden, mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan KP yang meluluskan laporan PEIA.
Mereka juga memohon pengisytiaran bahawa keputusan KP pada 21 Feb, yang menolak permohonan mereka bahawa RAGMSB diperlukan membuat dan menyediakan laporan EIA yang baru dan terperinci, adalah tidak adil dan tidak munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan