KENINGAU, 5 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya satu pengauditan menyeluruh dibuat bagi menentukan jumlah sebenar kemudahan sekolah yang diperlukan di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pelbagai projek pembangunan pendidikan termasuk penyediaan kemudahan fizikal dan keperluan asas dilaksakana dengan berkesan.
"Kita mahu mengenal pasti kemudahan atau kelengkapan sekolah yang diperlukan di setiap daerah di negara ini, sekaligus memudahkan kementerian merancang pelan pembangunan pendidikan yang akan dimasukkan dalam bajet Rancangan Malaysia Ke-10.
"Proses mengaudit sudah dilakukan sebelum ini...tetapi saya mahu ianya lebih menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Sabah di Sekolah Menangah Ken Hua di sini hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran untuk mengemudi proses pengauditan itu yang membabitkan kira-kira 10,000 sekolah.
Mengenai kelewatan pembinaan beberapa sekolah menengah di negara ini, Muhyiddin berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan itu ialah masalah untuk mendapat tapak tanah yang sesuai.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian sedang berusaha untuk mencari jalan menangani masalah itu demi kebaikan semua pihak.
Ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Pelajaran memperkenalkan sistem pentaksiran baru bagi mengukur keupayaan murid sekolah, Muhyiddin berkata pencapaian murid kini dinilai melalui penglibatan mereka dalam semua aspek termasuk kurikulum dan ko-kurikulum.
"Dulu kita lebih mementingkan pencapaian akademik tetapi sekarang kita mahu melihat murid yang mempunyai kebolehan menyeluruh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan