SEREMBAN, 26 Jun 2009: Gara-gara mahu bergaya ketika keluar menoreh, seorang wanita kerugian lebih RM5,000 apabila barang kemas dan telefon bimbitnya disamun tiga lelaki di sebuah kebun getah di Sendayan dekat sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masrof, berkata tindakan wanita berusia 42 tahun itu memakai barang kemas termasuk gelang, rantai dan subang serta membawa telefon bimbit menarik perhatian tiga lelaki yang mengekorinya hingga ke kebun.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga lelaki berkenaan yang menaiki dua motosikal, menendang dan menampar wanita itu sebelum merampas sejumlah wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit mangsa.
"Berdasarkan laporan dibuat mangsa, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an dan tidak menggunakan senjata," katanya di sini, semalam.
Mohd Zaki menasihatkan wanita supaya tidak memakai barangan kemas yang banyak ketika bekerja kerana ia boleh menarik perhatian penjenayah.
Beliau juga meminta penduduk yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di talian 06-7619999 atau balai polis berhampiran bagi membantu mengesan penjenayah terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan