LONDON 19 Mei - Speaker House of Commons Britain, Michael Martin mengumumkan peletakan jawatannya hari ini selepas dikecam hebat kerana skandal melibatkan tuntutan perbelanjaan anggota Parlimen.
Martin mengumumkan peletakan jawatannya pada pukul 2.30 petang ini (9.30 malam waktu Malaysia) apabila sidang dewan rendah Parlimen itu bermula, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC), Scottish Televisyen dan akhbar Sun.
Beliau menjadi Speaker pertama Parlimen Britain yang terpaksa meletakkan jawatan sejak 1695.
Martin dikecam hebat kerana didakwa gagal mengetuai usaha pembaharuan terhadap sistem yang mengawal perbelanjaan ahli Parlimen.
Butir-butir mengenai tuntutan perbelanjaan ahli dewan, untuk pelbagai perbelanjaan termasuk pembinaan kolam renang dan gelanggang tenis, pemasangan lampu hiasan dan pembersihan parit, telah didedahkan dalam akhbar Daily Telegraph sejak 11 hari lalu.
Sejumlah 23 ahli Parlimen daripada semua parti politik utama telah menandatangani usul tidak percaya terhadap Martin.
Pengulas berkata, nasib Martin sudah ditentukan selepas beliau menghadiri sesi dewan rendah Parlimen semalam untuk membuat kenyataan mengenai skandal itu dan kemudian didesak berkali-kali oleh anggota dewan supaya meletakkan jawatan.
"Kedudukan Martin sebagai Speaker House of Commons sudah berakhir," tulis Peter Riddell dalam akhbar Times. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan