Jumaat, Mei 08, 2009

SIDANG DUN PERAK TERCEMAR, 2 SPEAKER DALAM 1 DEWAN

image IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tercemar dengan kekecohan yang dicetuskan oleh para Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pembangkang yang membantah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan 27 Adun dari Barisan Nasional (BN) serta dan tiga Adun Bebas.

Suasana di dalam Dewan yang sepatutnya dihormati tidak ubah seperti keadaan di dalam sebuah pasar.

image Kekecohan yang berlaku di hadapan tetamu undangan termasuk orang-orang kenamaan negeri telah menyebabkan Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah ditangguhkan dan baginda terpaksa menunggu kira-kira lima jam sebelum dapat merasmikan Persidangan Dewan.

Semasa kekecohan, sebahagian besar Adun dari pembangkang meninggalkan tempat duduk mereka dan berdiri di bahagian sebelah kiri tempat duduk Speaker, di mana Dr Zambry, barisan Exco Kerajaan Negeri, Adun BN dan Bebas ditempatkan lalu berlaku perang mulut.

Pada beberapa ketika, seorang dua Adun dari kedua-dua belah pihak dilihat bertolak-tolakan antara satu sama lain akibat tidak dapat mengawal perasaan.

Pergaduhan mereka segera dileraikan oleh rakan-rakan mereka yang lain.

image Episod memalukan itu bermula apabila V. Sivakumar yang ketika itu bertindak sebagai Speaker masuk dan mengambil tempat duduk di dalam Dewan kira-kira pukul 10 pagi, lalu mengarahkan Dr Zambry, enam anggota exconya serta tiga Adun Bebas supaya keluar daripada Dewan.

image Beliau juga memaklumkan bahawa tempat duduk para Adun di dalam Dewan kekal seperti sebelumnya, iatu bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bekas anggota Exco Kerajaan Negeri dari pembangkang serta Adun-Adun dari pembangkang duduk di sebelah kanan Speaker manakala Dr Zambry, barisan Exco Kerajaan Negeri, Adun BN dan Bebas duduk di sebelah kiri Speaker.

Sivakumar bertegas dengan pendiriannya itu dan enggan memulakan persidangan selagi kesemua 10 orang anggota Adun tersebut tidak keluar Dewan dan mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa mereka keluar Dewan.

Alasan keluar Dewan yang diberikan Sivakumar ialah Dr Zambry dan enam anggota Exco Kerajaan Negerinya telah digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan keputusan penggantungan mereka telah disahkan oleh persidangan DUN yang dipengerusikan beliau bersama kumpulan Adun yang diketuai oleh Mohammad Nizar, di bawah sebatang pokok di sini pada 3 Mac lalu.

Dr Zambry dan kesembilan Adun itu bagaimanapun membantah arahan Sivakumar dengan menyatakan bahawa beliau dan barisan Exconya berhak hadir di dalam Dewan berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan itu adalah batal dan tidak sah.

Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar Adun pembangkang menyerbu dan berdiri mengelilingi tempat duduk Dr Zambry, lalu pertengkaran kedua-dua belah pihak pun bermula.

image Kelihatan juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bersungguh-sungguh membantu untuk mententeramkan kekecohan yang berlaku dengan menghalang antara Adun yang dilihat amat marah, daripada meluru kepada Adun lain.

image Tanpa menghiraukan gangguan yang dilakukan oleh Adun pembangkang, Dr Zambry terus mencadangkan usul pemecatan Sivakumar selaku Speaker dan ia disokong oleh Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman dan kesemua 28 Adun BN serta tiga Adun Bebas yang mengundi bersetuju secara angkat tangan, dengan cadangan pemecatan terhadap Sivakumar.

Sivakumar lalu menyatakan bahawa beliau sedari awal telah menolak usul itu kerana menurutnya orang yang membawa usul itu telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan.

Dr Zambry tetap mengulangi usul yang sama dan sekali lagi ia disokong oleh kesemua Adun BN dan tiga Adun Bebas.

Sivakumar kemudiannya sekali lagi mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa keluar 10 Adun BN dan Bebas tersebut, tetapi Dr Zambry tetap bertegas bahawa Sivakumar telah dipecat.

image Sejurus selepas itu, Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengambil alih tugas mempengerusikan persidangan.

image Zambry kemudian mengusulkan supaya Sivakumar dipecat yang disusuli usul pelantikan bekas Adun Sungkai, Datuk R.Ganesan dilantik sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh anggota BN dan Bebas.

Keadaan terus kecoh dengan Sivakumar masih berada di kerusi Speaker.

Sebaik sahaja usul pelantikan Speaker baru diluluskan oleh penyokong BN dan Bebas, Hee menjemput Ganesan masuk ke dalam Dewan dan dipakaikan jubah serta terus mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk Anggota Dewan dan mengambil alih perjalanan persidangan daripada Hee.

Pada masa yang sama Adun pembangkang serta Sivakumar hanya memerhati perkembangan yang berlaku.

Ganesan kemudian meneruskan persidangan di kalangan penyokong BN dengan menerima empat lagi usul iaitu pelantikan anggota baru bagi tiga jawatankuasa, Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, serta usul membatalkan persidangan DUN Perak "di bawah pokok" yang dipengerusikan oleh Sivakumar dan kumpulan yang diketuai Mohammad Nizar pada 3 Mac lepas.

image Kesemua usul itu yang dibawa oleh Adun Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman dan disokong oleh Adun Kota Tampan, Datuk Shaarani Mohamad, diluluskan tanpa bahas dengan kesemua Adun BN dan Bebas mengundi dengan cara angkat tangan.

image Selepas empat usul itu diluluskan, Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim daripada PAS dilihat menyerahkan beberapa helai kertas kepada Sivakumar, yang masih duduk di kerusi Speaker.

Sivakumar kemudian berdiri sambil memegang kertas berkenaan dan berkata: "Kesemua usul berkenaan itu telah saya tolak", tetapi ia tidak dipedulikan oleh Ganesan dan kesemua Adun BN serta Bebas.

Zambry seterusnya memohon supaya persidangan Dewan ditangguhkan selama sejam pada pukul 11.15 pagi dengan disokong oleh Hamidah. Selepas undian dibuat dan dipersetujui kesemua Adun BN dan Bebas, persidangan Dewan ditangguhkan.

Susulan daripada itu, kesemua Adun daripada BN dan pembangkang, kembali ke tempat duduk masing-masing dan Dewan kembali tenang.

Sivakumar bagaimanapun tetap berada di tempat duduk Speaker.

Selepas sejam, keadaaan kembali kecoh sehingga memaksa pihak BN memohon supaya persidangan ditangguhkan selama sejam lagi pada 12.55 petang, yang kemudiannya diluluskan oleh Ganesan dan sekali lagi kesemua Adun kembali ke tempat duduk masing-masing.

Pada kira-kira pukul 2 petang sebelum meneruskan persidangan yang ditangguhkan sebelum itu, Adun pembangkang cuba menghalang Ganesan daripada mempengerusikan persidangan, bagaimanapun Ganesan meneruskan tugasnya.

Adun-Adun pembangkang lalu menjerit perkataan "Bubar DUN" dan "You Are Not My Speaker", sehingga memaksa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak beruniform memasuki Dewan bagi mententeramkan keadaan.

Sivakumar yang tidak mahu beranjak daripada tempat duduk Speaker kemudiannya dibawa keluar oleh polis ke satu bilik pada 2.38 petang dan selepas itu loceng Dewan dibunyikan bagi menandakan perasmian DUN akan bermula.

Ganesan mengambil alih tempat Speaker pada pukul 2.50 petang bagi meneruskan perjalanan persidangan dengan Zambry mengemukakan usul perasmian mesyuarat oleh Pemangku Raja Perak dan ia diluluskan.

Dewan ditangguhkan sebentar untuk menjemput Raja Nazrin masuk ke galeri DUN, namun kesemua Adun pembangkang terus berdiri di hadapan tempat duduk Speaker.

image Kira-kira 3.10 petang Raja Nazrin dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara berangkat memasuki Dewan. Sebaik sahaja baginda berdua bersemayam di Peterana Diraja, Raja Nazrin memanggil Mohammad Nizar dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) untuk mengadap serta berbicara dengan mereka.

Mohammad Nizar kemudian meminta kesemua Adun pembangkang yang berdiri di hadapan Peterana Diraja itu kembali semula ke tempat duduk dan Raja Nazrin memulakan titah perasmian.

image Sebaik sahaja selesai majlis perasmian pada pukul 3.50 petang, baginda kemudiannnya berbicara dengan Mohammad Nizar dan Ngeh sekali lagi sebelum bersalaman dengan kesemua 59 Adun dari kedua-dua pihak sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Persidangan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang diberitahu kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan