Sabtu, Mei 23, 2009

INSTITUSI KELUARGA MAKIN RAPUH

KOTA KINABALU 22 Mei - Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah melahirkan kebimbangan dengan perkembangan institusi keluarga di negeri ini yang semakin rapuh dan gagal berfungsi seperti sepatutnya.

image Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, malah keruntuhan institusi keluarga kini menjadi antara penyumbang utama masalah sosial dan kegiatan jenayah di negeri ini.

"Kebanyakan masalah dan gejala tidak sihat pada hari ini berpunca daripada institusi keluarga yang kebanyakannya rapuh dan tidak lagi berperanan membentuk individu yang baik.

"Pembentukan sebuah keluarga bahagia bukanlah mudah. Ini memerlukan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dan tidak hanya kepada keluarga itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Keluarga Bahagia di Wisma Tun Fuad dekat sini semalam.

Azizah berkata, pada ketika ini, nilai-nilai murni seperti budaya hormat menghormati dan sayang menyayangi tidak diberi keutamaan dalam masyarakat.

Menurutnya, keadaan tersebut amat menyedihkan kerana amalan yang baik dan murni itu adalah lambang dan kekuatan rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata, kementerian menerusi sebuah unit yang baru ditubuhkan iaitu Unit Keluarga akan memula kempen itu hujung minggu ini di Pasar Raya 1 Borneo, dekat sini.

Katanya, kempen itu bertujuan mengetengah isu berkaitan pembangunan kekeluargaan yang selalu dibangkitkan kepada pihak berwajib.

Jelasnya, usaha itu juga dilihat dapat membangun institusi keluarga berteraskan ajaran agama masing-masing bagi mewujudkan masyarakat beretika, penyayang dan harmoni.

"Ia juga bagi memastikan setiap ahli masyarakat tanpa mengira kaum atau agama menyumbang kepada pembangunan keluarga dalam menikmati kesejahteraan hidup berterusan," katanya.

Azizah berkata, kempen itu akan dilanjutkan ke Sandakan, Keningau dan Beaufort dari Julai hingga September ini.

'Program itu mendapat kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran Negeri, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah dan Perpustakaan Negeri Sabah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan