Sabtu, Mei 02, 2009

IBU BAPA PERLU MENDIDIK ANAK-ANAK SEMASA DI RUMAH - MUHYIDDIN

MUHYIDDIN YASSIN6 MUAR, 2 Mei, (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ibu bapa turut sama berperanan mendidik anak-anak semasa berada di rumah dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.

Ini kerana infrastruktur dan alat kelengkapan di sekolah sahaja masih belum mencukupi bagi menjamin pencapaian seseorang pelajar, katanya semasa merasmikan makmal komputer Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Bukit Pasir di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ini terbukti dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dahulu walaupun mereka belajar dalam keadaan serba kekurangan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan terus melaksanakan projek pembinaan sekolah-sekolah baru selain membaik pulih sekolah-sekolah di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Usaha itu akan tetap dilaksanakan berikutan keadaan sekolah-sekolah di luar bandar di kedua-dua negeri itu lebih daif daripada sekolah-sekolah di Semenanjung, katanya.

"Kerajaan menekankan pembinaan sekolah baru dan membaik pulih sekolah yang sedia ada di negeri tersebut seberapa cepat yang boleh supaya pelajar-pelajar dapat belajar dengan selesa," katanya.

Muhyiddin berkata sesebuah sekolah yang mempunyai kelengkapan yang baik sepatutnya mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dengan tahap pembelajarannya selari dengan kemudahan yang disediakan.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM8juta bagi pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Sungai Raya pada tahun ini.

Turut hadir ialah isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jorak, Dr Shahrudin Md Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan