KOTA KINABALU 2 Mei - Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan usaha pihak tertentu khususnya segelintir pengendali blog tidak bertanggungjawab yang cuba mengeliru dan memutarbelitkan konsep Satu Malaysia.
Exco Penerangan Negeri Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, usaha jahat itu amat berbahaya bagi sebuah negeri yang majmuk seperti Sabah selain jelas mempunyai motif politik.
Katanya, konsep itu perlu difahami dan adalah penting mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan dan bukan melalui blog yang tidak bertanggungjawab hasil penulis-penulis picisan.
"Ramai bloggers mengemukakan pelbagai pandangan yang kadangkala berunsur negatif, ini mampu menggugat kefahaman rakyat khususnya belia terhadap konsep Satu Malaysia.
"Adalah penting untuk golongan belia memahami dan sedar usaha pihak tertentu yang menggunakan Internet bagi menyebarkan maklumat yang boleh memecah belah dan menggugat fikiran.
"Keadaan ini perlu untuk diawasi dan belia perlu berusaha mendapatkan maklumat yang tepat," katanya ketika berucap pada Konvensyen Belia Negara Peringkat Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Belia Persekutuan Negeri Sabah, Hashim Sintol.
Sapawi berkata, konsep tersebut diperkenalkan kepada rakyat sebagai satu strategi baru kerajaan untuk mengeratkan hubungan kaum bagi jangka masa panjang.
Jelasnya, konsep berkenaan adalah yang terbaik dan paling relevan ketika ini bagi masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.
Beliau juga menyeru supaya budaya lesu serta bisu di kalangan para belia dihapuskan dan mereka perlu proaktif menyumbang idea dan pandangan baru dalam semua bidang.
"Kita tidak mahu belia di negara ini menjadi golongan yang lebih banyak membisu, tidak berdaya saing, tidak kreatif serta tidak proaktif kerana ini hanya merugikan negara," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan