KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk melakukan rombakan Kabinet negeri buat masa ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata rombakan Kabinet tidak perlu dilakukan sekarang memandangkan kerajaan negeri sibuk untuk melaksanakan projek yang ada seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Sekarang kita mesti fokus untuk bekerja dan melaksanakan projek yang telah dirancang," katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Musa diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan kecil Kabinet negeri dalam masa terdekat, yang melibatkan kedudukan salah seorang Pembantu Menteri iaitu Datuk Japlin Akim berikutan keanggotaannya dalam Umno digantung tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan rasuah politik.
Musa turut mengulangi kenyataannya bahawa kedudukan Japlin sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan tidak akan terjejas berikutan keputusan Lembaga Disiplin dan beliau telah pun berjumpa Japlin untuk membincangkan perkara itu.
"Dia disiasat saja... siapa pun boleh disiasat. Tapi dia belum dikenakan apa-apa pertuduhan oleh mahkamah, jadi tiada apa-apa tindakan perlu diambil terhadapnya," katanya ketika ditanya mengenai kedudukan Japlin dalam Kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan