Ahad, April 26, 2009

'TIDAK SALAH KALAU TARIK DIRI JALANKAN AKTIVITI'

GURU berhak menarik diri atau enggan mematuhi arahan melaksanakan sebarang aktiviti sekolah jika terpaksa mendahulukan wang mereka kerana ia adalah tanggungjawab pihak sekolah menyediakan semua kemudahan untuk memastikan aktiviti itu dilaksanakan.

MOHAMAD ALI HASAN Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata adalah menjadi hak guru menolak tanggungjawab itu jika berasakan ia membebankan serta tidak sanggup melaksanakannya.

Ini kerana, kata beliau, sewajarnya pihak sekolah memastikan segala keperluan termasuk perbelanjaan sudah disediakan sebelum mengarahkan guru melaksanakan tugas mereka seperti membawa pelajar untuk aktiviti luar sekolah.

"Banyak sumber yang boleh digunakan, malah tidak sekadar wang sekolah yang boleh digunakan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga boleh membantu untuk memastikan aktiviti itu dilaksana tanpa membebankan guru.

Beliau meminta semua PIBG memantau aktiviti serta perbelanjaan supaya tidak terlepas pandang dan akhirnya memberi tekanan kepada guru.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran, Jemali Paiman, berkata permasalahan itu disebabkan kelemahan pentadbir sekolah.

Katanya, ada tiga sumber kewangan boleh digunakan menjalankan aktiviti sekolah iaitu wang sekolah melalui akaun sumber wang awam (Suwa) dan wang kerajaan; bantuan perkapita kerajaan serta melalui akaun PIBG.

"Namun, ada ketikanya, wang itu tidak dapat dikeluarkan segera kerana notis yang diterima untuk sesuatu aktiviti terlalu singkat dan pada masa sama, kerani kewangan atau pengetua tidak ada di sekolah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan