Masalah langgar tatatertib perlu ditangani elak jadi barah
KUCHING: Tindakan turun pangkat atau buang kerja boleh diambil terhadap Guru Besar dan Pengetua yang didapati sengaja menyembunyikan perbuatan guru mereka yang sentiasa gagal menyedia dan melengkapkan buku rancangan mengajar atau buku rekod mengajar setiap hari.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Dr Julaihi Bujang, mengarah semua Guru Besar dan Pengetua di negeri ini agar menangani masalah itu segera dengan bijak, sebelum menjadi barah.
Beliau berkata, menurut satu laporan Jemaah Nazir Sekolah negeri ini, baru-baru ini, ada beberapa guru didapati tidak melengkapkan buku rancangan mengajar ketika diperiksa, bagaimana pun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Katanya, perbuatan guru terbabit sebenarnya melanggar Akta Pendidikan Negara berikutan setiap guru mesti mempunyai buku rekod persediaan mengajar kerana ia adalah dokumen rasmi.
"Sekiranya ada Guru Besar dan Pengetua yang didapati sengaja menyembunyikan perbuatan guru mereka yang sentiasa gagal menyedia dan melengkapkan buku rancangan mengajar, tindakan turun pangkat atau buang kerja boleh diambil.
"Setakat ini, belum ada Guru Besar dan Pengetua di negeri ini yang diambil tindakan sedemikian dan saya sendiri akan memantau masalah ini," katanya.
Julaihi berkata beliau sendiri juga boleh diambil tindakan turun pangkat atau buang kerja oleh Ketua Setiausaha Negara sekiranya tidak mengambil tindakan tatatertib Guru Besar dan Pengetua terbabit.
Beliau berkata Guru Besar dan Pengetua mempunyai kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana guru di bawah seliaan mereka yang sentiasa gagal menyedia dan melengkapkan buku rancangan mengajar mereka setiap hari.
Katanya, guru terbabit boleh diambil tindakan tatatertib bermula dengan amaran dan sekiranya guru berkenaan terus gagal setelah beberapa nasihat dan amaran diberikan, Guru Besar dan Pengetua boleh mencadangkan kepada Jawatankuasa Disiplin JPN untuk tindakan tataterib.
"Sekiranya guru terbukti bersalah, tindakan turun pangkat atau buang kerja boleh diambil terhadapnya," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan