SANDAKAN, 23 April (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Sabah memohon agar kakitangannya yang bertugas di kawasan kritikal dilengkapi senjata api bagi menghadapi ancaman pemburu haram.
Ini ekoran kejadian 2 April lepas apabila sekumpulan 20 lelaki dipercayai pemburu haram bersenjatakan parang, pisau dan kayu menyerang dan mencederakan seorang pegawai Jabatan Perhutanan Sabah di pejabat jabatan itu di Sungai Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu.
Kumpulan litu turut memecahkan cermin kenderaan pacuan empat roda milik jabatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan dalam satu kenyataan di sini Khamis berkata ketika menceroboh masuk ke kawasan pejabat itu, kumpulan berkenaan turut mengugut kakitangan lain jabatan itu yang datang untuk memberi bantuan.
Insiden itu berlaku pada 9 malam, sehari selepas pegawai jabatan itu terserempak dengan pemburu haram di kawasan hutan simpan itu.
"Ketika itu, pemburu haram berkenaan berjaya melarikan diri dan meninggalkan satu plastik mengandungi beberapa cebisan daging pelanduk selain meninggal sebuah motosikal," katanya.
Beliau berkata kumpulan lelaki berkenaan dipercayai warga tempatan yang tinggal di sebuah penempatan kira-kira dua jam perjalanan dengan kereta dari pejabat jabatan.
Mannan berkata berdasarkan kata-kata yang dluahkan oleh kumpulan lelaki berkenaan, serangan itu sebagai amaran kepada Jabatan Perhutanan terutama kepada kakitangannya di lapangan supaya membiarkan mereka melakukan pemburuan dengan alasan ia adalah budaya mereka.
"Kumpulan lelaki berkenaan dipercayai sering melakukan pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama dan rekod menunjukkan bukan sahaja pelanduk menjadi mangsa pemburu haram tetapi juga hidupan liar terancam yang lain antaranya gajah dan harimau bintang," katanya.
Mannan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana mengambil tindakan pantas selepas kes itu dilaporkan melalui penangkapan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam insiden itu.
Menurut beliau sebagai tindakan langkah panjang, pihaknya dalam proses memohon lesen bagi membolehkan kakitangan tertentu dilengkapi dengan senjata api untuk mempertahankan diri sekiranya diserang oleh penceroboh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan