Bakar Bendera Adalah Perkara Serius, Kata Musa
KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata insiden membakar bendera di Lahat Datu, Sabtu lepas, adalah perkara serius yang boleh mencetus rusuhan awam dan menimbulkan keadaan huru-hara.
"Membakar bendera adalah perkara amat serius. Ini bukan budaya kita dan tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan CIMB Bank di 1Borneo Hypermall di sini, Isnin.
Musa, yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, berkata beliau telah meminta polis menyiasat perkara itu secara terperinci supaya insiden seperti itu tidak berulang.
Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, 12 orang termasuk seorang yang mendakwa dirinya dari keturunan Sultan Sulu, ditahan kerana membakar enam bendera negeri Sabah di hadapan pasar pekan Lahat Datu dan di sebuah pasar raya di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan