Rabu, April 29, 2009

ADUAN DOKTOR 'CURI TULANG' TIDAK BENAR - LIOW

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Siasatan terhadap dakwaan kononnya pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'curi tulang' mendapati dakwaan itu tidak benar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai Rabu.

Liow Tiong LaiBeliau berkata doktor yang dikatakan 'membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi' di wad kecemasan itu sebenarnya merupakan Pegawai Perubatan Siswazah dan baru selesai memeriksa pesakit terakhir.

"Semasa menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya, doktor itu sekadar menyelak akhbar yang ditinggalkan seorang pesakit atas sebuah troli dan hanya mengimbas tajuk utama akhbar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan kononnya ada 20 pesakit yang sedang menunggu di Zon Kritikal juga tidak benar kerana siasatan  mendapati hanya lapan pesakit yang sedang menunggu, selebihnya adalah waris kepada pesakit.

"Tiga pesakit sedang menunggu untuk dirawat dan lima lagi pesakit asma sedang mendapatkan rawatan," kata Liow.

Saravanan1 Ahad lepas, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan mendakwa dua doktor di jabatan kecemasan HKL membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Saravanan berkata peristiwa itu berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan