Ahad, Mac 15, 2009

RTM MAIN PERANAN PENTING KEKALKAN BUDAYA HIDUP BERMASYARAKAT - MASIDI

10RANAU, 14 Mac (Bernama)-- Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang merupakan pelopor dunia penyiaran negara, memainkan peranan penting dalam mengekalkan budaya hidup bermasyarakat dengan menjaga sensitiviti semua pihak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun.

"Kita tidak boleh pertikaikan bahawa hiburan perlu digerakkan selari dengan perubahan era semasa, namun kita harus juga ingat bahawa sesuatu yang asli itu harus terus diperlihara dan dikekalkan agar tidak ditelan zaman," katanya ketika merasmikan pertandingan akhir lagu-lagu popular Dusun dalam carta Sabah VFM 2008 anjuran RTM Sabah di Dewan Masyarakat Ranau, di sini malam ini.

Masidi berkata siaran lagu bahasa ibunda bukan sahaja menghibur malah mampu menggalakkan pewujudan keluarga bahagia serta pengamalan budi bahasa yang luhur.

Katanya penganjuran pertandingan itu di daerah Ranau, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu dengan majoriti penduduknya kaum Dusun, merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada para penyanyi dan pencipta lagu-lagu Dusun.

"Apa yang penting ialah setiap kita perlu melihatnya daripada perspektif positif supaya apa yang kita hasilkan menjadi lebih berdaya saing, menarik dan berkesan dalam menyampaikan objektif sebenarnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan