Isnin, Mac 30, 2009

PEDALAMAN SABAH PERLU BANYAK ASRAMA

DTK ELLRON SMILE KENINGAU, 30 Mac (Bernama) -- Sabah memerlukan lebih banyak asrama buat pelajar-pelajar sekolah menengah terutama di kawasan pedalaman bagi menangani masalah ponteng kelas.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ellron Angin berkata beliau percaya ketiadaan asrama bagi pelajar luar bandar yang tinggal jauh dari sekolah adalah antara punca kepada masalah ponteng.

Katanya masalah ponteng turut membawa kepada masalah yang lebih serius seperti pelajar keciciran dan ketinggalan dalam akademik, yang rata-ratanya dikaitkan dengan pelajar luar bandar.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di SMK Apin-Apin di sini, Ellron berkata beliau difahamkan sekolah itu sendiri menghadapi masalah ponteng kelas yang serius dengan purata 12 orang ponteng dalam sehari.

Beliau percaya banyak lagi sekolah-sekolah luar bandar yang lain turut berhadapan dengan masalah yang sama dan menurutnya punca masalah itu perlu dikenal pasti dengan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menanganinya.

Beliau seterusnya menggesa PIBG sekolah supaya lebih lantang bersuara dan menampilkan idea-idea baru demi kebaikan perkembangan pencapaian pelajar serta sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan