Sabtu, Disember 01, 2012

AKAR UMBI TAK TAHU SUMBANGAN POLITIK RM40J

Akar umbi tak tahu sumbangan politik RM40j

30/11/2012: Rata-rata perwakilan Umno di peringkat bahagian Sabah tidak mengetahui tentang kewujudan wang "sumbangan politik" sebanyak RM40 juta dan meminta agar Pengerusi Perhubungan negeri itu, Datuk Seri Musa Aman memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Selain tidak mengetahui kewujudan wang tersebut sebelum ini, mereka juga tidak tahu sama ada wang tersebut telah diberi kepada Umno cawangan atau bahagian negeri itu.

Mereka juga berkata, kewujudan wang sumbangan itu hanya diketahui daripada laporan media.

NONEPerwakilan dari Sabah yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kota Marudu, Baintin @ Abd Halim Adun (kanan)berkata, walaupun Musa "dituduh" menerima wang sumbangan itu, beliau tetap menyokong kepimpinan pengerusi BN Sabah itu dan meminta agar Musa tampil memberi penjelasan.

"Sebelum ini saya tidak pernah mendengar (tentang) sumbangan RM40 juta itu. Bagaimanapun jika ada pertuduhan begitu, saya rasa pemimpin di sabah atau persekutuan harus memberi penerangan di peringkat akar umbi bagi menerangkan kedudukan sebenar wang tersebut.

"Terutama sekali orang yang kena tuduh macam ketua menteri Sabah seharusnya memberi penerangan apa kedudukan sebenar wang RM 40 juta itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu komen apa-apa (siapa layak ganti Musa). Terpulang pada parti. Tapi saya rasa khidmat Datuk Musa masih diperlukan di Sabah," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas menghadiri persidangan Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Sebelum ini, Musa yang juga merupakan ketua menteri Sabah didakwa menerima wang sumbangan untuk Umno Sabah  tersebut melalui ahli perniagaan Micheal Chia yang ditahan pada 14 Ogos 2008 di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong sebelum menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

NONEMenteri hal ehwal undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada 11 Oktober lalu berkata, kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan wang tersebut merupakan sumbangan kepada Umno negeri dan bukan kepada Musa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 12 Oktober laluberkata wang RM40 juta yang cuba diseludup ke Malaysia untuk Umno Sabah adalah "sumbangan politik" untuk Umno.

Bagaimanapun, presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno apabila ditanya pemberita.

Pada 22 Oktober pula, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjelaskan bahawa Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong menyiasat Musa dan beberapa pemimpin Umno. Badan itu, katanya, kemudian mengisytiharkan bahawa tiada rasuah terlibat dalam sumbangan RM40 juta kepada Umno negeri.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli telah membuat laporan di SPRM berhubung isu itu dan dan turut menyediakan beberapa bukti baru untuk siasatan ICAC terhadap Chia, Musa dan Nazri.

Selain itu, seorang lagi perwakilan dari bahagian Tenom, David Jani pula berkata, isu wang sumbangan RM40 juta tidak menjadi "isu panas" di bahagian pendalaman.

Beliau dengan tegas berkata, perkara tersebut boleh diselesaikan sekiranya penjelasan diberi bagi memberi keyakinan kepada penyokong Umno dan BN negeri itu.

"Oleh kerana isu ini ada juga sebahagiannya dikemukakan oleh pihak berkenaan (pembangkang), tetapi di kampung tak begitu panas isu ini. Isu ini boleh diberi penjelasan yang setepatnya untuk beri keyakinan kepada penyokong BN di Sabah," katanya.

NONEBagi Aripin Kulipo (kiri), juga perwakilan Umno bahagian Tenom berkata, isu wang sumbangan yang mengaitkan Musa merupakan isu yang sengaja diwar-warkan oleh pembangkang.

Kata Aripin lagi, isu itu juga bukan merupakan isu besar di negeri Sabah.

"Saya fikir isu itu merupakan isu yang cuba diwar-warkan oleh pihak pembangkang. Bagi saya penjelasan yang terperinci adalah lebih baik. Walaupun tidak dijelaskan di Parlimen tapi saya fikir untuk diperingkat akar umbi, ia perlu satu penjelasan yang lebih baik supaya tidak menjejaskan terutama kepada pengerusi perhubungan Umno negeri Sabah.

"Apa yang saya nampak soal itu tidak merupakan isu yang besar di Sabah. Bagi kami bukan satu perkara besar," katanya.

Selain itu, ketika ditanya sama ada beliau mengetahui kewujudan wang tersebut dan diberi kepada Umno bahagian Tenom, Aripin berkata, "Tidak tahu (kewujudan wang).

"Tidak ada (wang diberi kepada Umno bahagian). Tapi sebenarnya kita ada ketua. Tapi proses dapat wang kita tak tahu. (Tetapi) kami sebagai perwakilan amat berdiri teguh di belakang Datuk Musa sebagai ketua menteri," katanya lagi.

Sementara itu, perwakilan Umno bahagian Sipitang Shem@ Andy Balong berkata, Musa merupakan seorang pemimpin yang jujur dan beliau tidak mempercayai isu berhubung wang sumbangan itu.

Malah beliau turut menganggap isu RM40 juta itu merupakan mainan pembangkang.

"Itu tak betul, memang tak percaya, sebab dia seorang pemimpin jujur yang ada nama. Orang lain guna nama dia sebagai isu politik. Perkara itu saya tak tau sebenarnya, asal usul cerita tak tau. Hanya saya dengar melalui berita, maka tak boleh komen itu betul. Tapi itu (isu wang sumbangan) memang tak betul.

"Ya, dia memang seorang yang jujur. Pengurusan ekonomi (Sabah) melonjak dan antara yang terbaik. Mngkin kerana itulah pembangkang buat satu isu untuk jatuhkan beliau, jatuhkan imej," katanya lagi.

Zulaikha Zulkifli

---------------

Explain ‘RM40mil donation’, Sabahans tell Musa Aman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan