PUTRAJAYA 06 September 2012: Gabungan Pribumi Prihatin Sabah (GPPS) memandang serius terhadap penipuan dan berita palsu yang disebarkan pihak pembangkang melalui blog dan portal untuk mengelirukan rakyat Sabah.
Setiausahanya, Zulkifli Osong, berkata bahan berita seumpama itu hanya bertujuan mengelirukan rakyat dan taktik jahat pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi.
“Oleh itu, kami mewakili rakyat pribumi Sabah meminta Pas Parit Buntar dan portal Free MalaysiaToday.com yang menyiarkan berita seumpama itu meminta maaf kepada rakyat Sabah serta menarik balik semua berita palsu yang disebarkan.
“Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, GPPS akan membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Zulkifli berkata, antara kenyataan mengelirukan yang disiarkan dalam blog Pas Parit Buntar (paspb2.blogspot.com) dan FreeMalaysiaToday termasuk BN Sabah berpecah belah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merombak pucuk pimpinan Sabah.
Berita lain adalah Ketua Menteri Sabah diminta mengambil cuti kerana tidak dapat memerintah Sabah dengan stabil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan