Ahad, September 30, 2012

20 PEMIMPIN PKR DI KABINET JIKA PR MENANG

20 pemimpin PKR di Kabinet jika PR menang

SHAH ALAM 30/09/2012– Seramai 20 pimpinan kanan PKR dijangka mewarnai jemaah menteri Kerajaan Pusat yang baru sekiranya berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kepimpinan baru negara itu semakin menampakkan bayangan dengan sebahagian kecil pimpinan kanan mungkin diangkat sebagai menteri dan timbalan menteri mengikut tradisi yang wujud di dalam hierarki kepimpinan politik tanah air.

“Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha, bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik, pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.

“Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya akan berada dalam jemaah menteri,” katanya berkongsi pandangan ketika ditanya inti pati ucapan penutup Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, semalam.

Bagaimanapun katanya, barisan jemaah menteri itu tidak akan berada di ruang lingkup pengurusan kanan sahaja, sebaliknya anggota parti yang berpotensi juga akan diberi peluang.

“Mereka yang mempunyai kepakaran tertentu seperti undang-undang, ekonomi tetapi tidak berada dalam peringkat pengurusan parti, saya percaya mereka juga akan dipertimbangkan bagi memantapkan jemaah menteri Malaysia yang baru,” katanya.

Shuhaimi berkata, Anwar juga mengingatkan anggota parti tidak terpilih menjadi calon wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen, tidak perlu rasa putus asa atau merajuk kerana PR adalah parti dinamik.

“Apa yang saya faham, mereka mungkin mengetuai agensi atau jabatan di mana pengalaman mereka itu akan digunakan di tempat yang sesuai. Parti mahu semua kepimpinan bersedia, jangan fikir golongan itu baru sertai parti atau telah lama.

“Yang penting calon itu boleh bantu rakyat, boleh menyumbang kepada PR dan mereka yang dipilih ini adalah mereka yang benar-benar boleh membawa visi PR, membentuk sebuah kerajaan baru yang bertanggungjawab, telus dan tidak rasuah,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri.

RUWAIDA MD ZAIN

----------------------

“Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha, bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik, pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.

“Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya akan berada dalam jemaah menteri,”

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei

Senarai Penuh Kepimpinan PKR Pusat

Ketua Umum : Datuk Seri Anwar Ibrahim

PRESIDEN Presiden : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

TIMBALAN/PENGARAH PILIHAN RAYA Timbalan Presiden : Mohamed Azmin Ali

SETIAUSAHA Setiausaha Agung : Saifuddin Nasution Ismail

LIMA NAIB PRESIDEN Naib Presiden :

Nurul Izzah Anwar, Chua Tian Chang, Fuziah Salleh, Datuk Mansor Othman, Datuk Chua Jui Meng, N Surendran, Datuk John Tenewi Nuek

BENDAHARI Bendahari Agung : William Leong

KETUA PENERANGAN Ketua Penerangan : Dr Mohd Nor Manuty

PENGARAH KOMUNIKASI Pengarah Komunikasi : Nik Nazmi Nik Ahmad

PENGARAH STRATEGIK Pengarah Strategi : Rafizi Ramli

AHLI MAJLIS PIMPINAN Ahli MPP (Dipilih) :

Elizabeth Wong, Dr Badrulamin Bahron , Hee Loy Sian, Khalid Jaafar, Abdul Rahman Yusof, Datuk Johari Abdul, Haniza Talha, Fariz Musa, Zakaria Abdul Hamid, Roland Chia, Siti Aishah Shaik Ismail, Ismail Yusop, Latheefa Koya, S Kesavan, Shuhaimi Shafiei, M R Summugam, Yusmadi Yusoff, S Manikumar, Mustafa Kamal Yusoff , Christina Liew

Tiada ulasan:

Catat Ulasan