Sabtu, Ogos 27, 2011

KES WANITA DIKERAT 15 & KANAK-KANAK DI BUNUH: TIGA WARGA BANGLADESH DIDAKWA

Tiga didakwa bunuh dua beranak, lupus mayat

Abd. Razak Tofazzal Hossain (dua dari kiri) dan Mmd. Ripon Mandal (kiri) didakwa membunuh seorang wanita dan anaknya di Mahkamah Majistret Ampang, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Tiga lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh dan melupuskan mayat seorang wanita Indonesia yang anggota badannya dikerat-kerat serta anak lelakinya di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, bulan lalu.

Abd. Razak Tofazzal Hossain, 29, Mmd. Ripon Mandal, 26, dan Mosharof Hossain, 23, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan masing-masing yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Berikutan itu, Majistret Wan Karimah Wan Md. Abd. Ghani menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Dalam kes tersebut, Abd. Razak didakwa membunuh Siti Sando, 35, di No. 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini antara pukul 11 pagi dan 5 petang, 29 Julai lalu.

Abd. Razak turut didakwa bersama-sama Mmd. Ripon atas tuduhan membunuh anak Siti yang hanya dikenali sebagai Mohd. Shukri yang berusia dua tahun pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mosharof pula menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa melupuskan mayat kedua-dua beranak tersebut antara pukul 11.20 pagi, 29 Julai lalu dan pukul 11 pagi, 3 Ogos lalu di tempat yang sama.

Dakwaan terhadap Mosharof dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, 11 lelaki warga asing ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat dan seorang kanak-kanak lelaki.

Kejadian tersebut terbongkar apabila pengurus bangunan di Pangsapuri Astaria, Taman Kosas menemui sebelah kaki kiri manusia di dalam mangkuk tandas di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di pangsapuri tersebut.

Hasil pemeriksaan polis, akhirnya menemui beberapa lagi bahagian anggota badan mangsa yang dibungkus dalam plastik di merata tempat termasuk di bahagian siling rumah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan