Jumaat, Oktober 05, 2012

ROGOL: MAHKAMAH TINGGI TAMBAH HUKUMAN SEBAT TERHADAP DUA LELAKI WARGA ASING

Rogol: Mahkamah Tinggi tambah hukuman sebat terhadap dua lelaki

KOTA KINABALU 4/10/2012: Dua lelaki warga asing masing-masing dijatuhkan hukuman lapan sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi di sini kelmarin atas kesalahan merogol.

Pesuruhjaya Kehakiman Ravinthran N Paramaguru menggunakan semakan kuasanya untuk meningkatkan hukuman sebatan itu terhadap Rasmin Syailillah, 22, dan Filarius Dakosta, 20, yang kedua-duanya tidak diwakili peguam bela.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman yang dijatuhkan terhadap kedua-dua perayu oleh mahkamah rendah adalah tidak mencukupi berbanding dengan kesalahan yang dilakukan.

Pada 24 April tahun ini, Rasmin dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan tiga sebatan rotan oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah merogol seorang wanita tempatan berusia 21, pada 30 Ogos tahun lalu jam 4 petang hingga 6 petang, di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Bantayan, Inanam.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, perayu memohon agar hukumannya diringankan kerana telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Bagaimanapun, Ravinthran menolak rayuan itu dan berpendapat hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah adalah tidak sesuai dengan kesalahan. Oleh itu, beliau meningkatkan hukuman rotan daripada tiga kepada lapan sebatan rotan.

“Mangsa telah dikurung selama dua hari dan perayu turut menggunakan senjata untuk mengugut mangsa,” katanya.

Manakala, Filarius yang menarik kembali rayuan atas hukuman dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan rotan oleh hakim Mahkamah Sesyen pada 10 April lalu selepas didapati bersalah merogol mangsa berusia 13 tahun yang juga warga asing.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan semak Kg Saga belakang 1Borneo, di sini, pada 15 Julai tahun lalu jam 2 petang.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) kanun sama, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ravinthran dalam penghakimannya berkata, dua sebatan rotan adalah tidak mencukupi dan mangsa hanya berusia 13 tahun. Perayu juga telah merogol mangsa dengan cara yang ganas, oleh itu hukuman berat harus dikenakan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Kedua-dua pendakwaan itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam.

by Clarice Usop,Kilalis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan