Ahad, Oktober 14, 2012

400 PENDUDUK TUNTUT HAK PEMILIKAN TANAH DI SUNGAI KOYAH A

400 penduduk tuntut hak pemilikan tanah di Sungai Koyah A

SANDAKAN 12/10/2012: Seramai 400 orang pemilik tanah di Sungai Koyah A Fasa I, II dan II di bawah Skim Pekebun Kecil di Kinabatangan menuntut hak ke atas pemilikan tanah yang didakwa sudah diluluskan oleh jabatan berkaitan tetapi sehingga ke hari ini mereka masih belum memperolehi geran akibat berlaku penyelewengan yang didalangi pihak-pihak tertentu.

Dalam satu sidang akhbar di sini, petang kelmarin pemilik tanah termasuk pewarisnya sebulat suara mahu hak pemilikan terhadap tanah yang berkeluasan 6,000 ekar itu dikembalikan kepada mereka atau mengambil tindakan untuk merujuk kepada suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes tuntutan sekiranya tidak juga dapat diselesaikan.

Ini kerana, masalah tuntutan tanah ini telah berlarutan terlalu lama seolah-olah pihak kerajaan tidak mengambil sebarang keputusan tetapi menyarankan penyelesaian yang bukan satu bentuk penyelesaian dalam menepati tuntutan penduduk Koyah A.

“Harapan para ahli ialah kembalikan hak mereka sebagai pemilik tanah berkenaan dan bukan mengalihkan tumpuan kepada soal lain. Ini soal hak rakyat dan mereka yang ada di sini bukanlah di kalangan berpendapatan tinggi tetapi apa yang penting hak mereka sebagai pemilik tanah dikembalikan secepat mungkin,” kata Penasihat Undang-Undang, Aisah Ahmad yang dilantik bagi mengendalikan kes itu.

Beliau mendakwa kononnya berlaku penipuan mengenai pemilikan tanah tersebut sehingga dicemari menyebabkan para ahli sehingga ke hari ini masih belum memperolehi geran-geran mereka.

Beliau meminta pihak-pihak yang terlibat dalam penipuan ini mendapat hukuman setimpal di sisi undang-undang sedia ada demi keadilan dan kepentingan semua ahli-ahli tanah terbabit.

“Pemilikan tanah ini mesti dipertahankan dan tidak ada unsur-unsur politik dalam perkara ini. Saya bekerja di Semenanjung Malaysia tetapi sebagai anak watan Sabah, saya terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia melibatkan hak asasi rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aisah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan tanah bagi 400 pemilik yang mana secara purata minimum seorang pemilik mendapat keluasan tanah 15 ekar dan maksimum 17 ekar.

Menurutnya, geran-geran telah dikeluarkan pada tahun 1998 tetapi jabatan berkaitan di Kinabatangan tidak memaklumkan pemilik dengan mengikut peraturan yang sedia ada.

Tambahnya, sehinggalah pada tahun 1999 pihak-pihak tertentu (bukan Jabatan Tanah) telah memaklumkan kepada hampir semua pemilik untuk berkumpul bagi menerima wang berjumlah RM1,500 dengan memberi pelbagai alasan tujuan penerimaan wang tersebut.

“Pada masa itu, sebahagian pemilik-pemilik yang hadir diminta menandatangani kertas kosong dan kertas yang telah siap bertaip dengan isi kandungan yang tidak difahami kerana ayat-ayat adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Pemilik-pemilik tidak diberi penerangan oleh pihak terbabit yang ada pada ketika itu dan tidak diberi ruang untuk bertanya malah meminta pemilik-pemilik jangan banyak bertanya memandangkan ramai lagi pemilik lain yang menunggu giliran,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan