Khamis, Ogos 23, 2012

BERI KEUTAMAAN KEPADA PENDUDUK TEMPATAN: ANAB

Beri keutamaan kepada penduduk tempatan: Anab

NABAWAN 24th July, 2012: Penduduk di daerah ini kesal dengan tindakan sebuah syarikat yang mendapat konsesi kawasan FMU 14 yang tidak mengutamakan penduduk tempatan yang berhampiran sebagai pekerja.

Jurucakap penduduk Anab Andahang berkata, syarikat berkenaan hanya mengambil kira-kira 20 peratus sahaja pekerja dari kampung-kampung yang berhampiran.

Katanya, kebanyakan pekerja diambil dari luar daerah dan dipercayai ramai pekerja asing yang disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Sepatutnya syarikat berkenaan memberi keutamaan kepada penduduk yang berhampiran selaras dengan garis panduan FMUyang memberi peluang dan keutamaan kepada penduduk tempatan yang berhampiran sebagai pekerja” kata Anab kepada New Sabah Times di sini kelmarin.

Beliau berkata, FMU diwujudkan oleh kerajaan adalah memastikan pengurusan hutan baik disamping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk apabila ia dibangunkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Tetapi katanya, ternyata syarikat berkenaan tersasar dari matlamatFMU apabila ia bertindak mengambil pekerja dari luar lebih ramai daripada penduduk tempatan yang berhampiran.

“Soal kemahiran dan kelayakan tidak menjadi masalah kerana penduduk terutama golongan muda di beberapa kampung yang berhampiran juga mempunyai kemahiran dan mampu melakukan kerja-kerja yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan” jelas Anab.

Anab berkata, tindakan pengurusan syarikat berkenaan yang melarang penduduk masuk di kawasan itu semasa melawat keluarga yang bekerja juga mengecewakan.

“Apabila kami masuk di kawasan itu untuk berjumpa dengan keluarga, kami dihalang untuk masuk sedangkan dalam masa yang sama terdapat kenderaan jabatan-jabatan kerajaan yang kelihatan membawa peti ais bebas keluar masuk di kawasan itu” tambahnya.

Dalam masa yang sama Anab juga meminta pihak yang berkenaan agar membuat pemantauan terhadap orang asing yang diambil bekerja oleh syarikat sama ada mereka mempunyai dokumen yang sah atau sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan