Khamis, Ogos 30, 2012

ATM KEKAL DI MINDANAO WALAUPUN PERJANJIAN DAMAI DIMETERAI

ATM kekal di Mindanao walaupun perjanjian damai dimeterai

AHMAD ZAHID (tiga dari kiri) bersama Ahmad Kamarulzaman (kiri) beramah mesra dengan wakil negara-negara TPA-M ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat TPA-M di Cotabato, Mindanao, Filipina semalam.

MINDANAO 30 Ogos 2012– Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M) akan terus berada di Filipina bagi memantau perkembangan semasa walaupun kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersetuju memeterai perjanjian damai di wilayah itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjanjian itu dijangka ditandatangani hujung tahun ini berikutan perbincangan antara kedua-dua pihak baru-baru ini.

Kedua-dua pihak terbabit telah menunjukkan perkembangan positif selepas mereka mengadakan pertemuan pada April lalu di Kuala Lumpur.

“Walaupun ada perjanjian damai, ATM akan terus berada di Filipina bagi memantau perkembangan semasa,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke TPA-M di Ibu Pejabat TPA-M dekat Bandar Cotabato di sini semalam.

PLATUN Media Askar Wataniah bergambar sempena lawatan kerja Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat TPA-M di Cotabato, Mindanao, Filipina semalam. Turut kelihatan, dua wartawan Kosmo! iaitu Rais Yeop Johari (berdiri dua dari kanan) dan Kumara Sabapatty (berdiri enam dari kanan) serta jurugambar, Mohd. Naim Aziz (berdiri paling kanan).

Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengerusi Bahagian Operasi Latihan Pertahanan, Brig. Jen. Datuk Shahrani Mohd. Sany.

Ahmad Zahid berkata, perjanjian damai itu tidak bermaksud tugas TPA-M selesai sepenuhnya sebaliknya bergantung kepada permintaan Filipina dan perkembangan semasa.

“Pemantauan TPA-M mungkin akan diteruskan sehingga kedua-dua pihak mematuhi syarat-syarat perjanjian damai,” tambahnya.

Menurut beliau, TPA-M melibatkan 54 anggota yang disertai enam negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Jepun, Britain dan Norway di mana 16 daripadanya dari Malaysia.

Penglibatan ATM dalam TPA-M bermula pada 10 September 2001 dengan tujuan untuk memantau gencatan senjata dan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF.

Daripada RAIS YEOP JOHARI dan KUMARA SABAPATTY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan