Siasatan Kehilangan Enjin F-5e Kini Tunggu Tindakan Peguam Negara
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hanya Peguam Negara sahaja yang berhak mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan kes kehilangan enjin pesawat jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta menentukan tindakan undang-undang yang bakal dilaksanakan.
"Polis sudah menyerahkan sepenuhnya kertas siasatan (kes itu) kepada Peguam Negara, dan kini tunggu Peguam Negara untuk ambil tindakan undang-undang melalui mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melepaskan peserta Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 7/2010 di Stadium Bukit Jalil di sini pada Sabtu.
Media baru-baru ini melaporkan kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM pada 2007 yang dikatakan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.
TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.
Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan