Pintu utama Gereja Sib di Seremban 2 dibakar
SEREMBAN: Sebuah gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban 2 di sini mengalami kebakaran di pintu utamanya akibat perbuatan khianat pagi ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd Manan Mhd Hassan, berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada kira-kira jam 8.30 pagi ini bahawa terdapat kerosakan dipintu utama gereja itu.
"Hasil daripada maklumat itu, polis bersama dengan unit forensik dan bomba datang membuat siasatan dan mendapati hanya terdapat kerosakan kecil dengan kesan kebakaran pada pintu depan gereja itu.
"Kita percaya mereka yang melakukan perkara ini ialah dengan menyimbah minyak petrol dan membakarnya, sebelum melarikan diri. Bagaimanapun, kebakaran ini tidak merebak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Katanya, polis percaya kejadian itu berlaku antara jam 1.30 pagi dan 8.30 pagi ini kerana pada jam pukul 1.30 pagi tadi, unit kereta peronda polis ada membuat lawatan di situ dan mendapati tiada apa-apa berlaku.
Abd Manan berkata, kejadian ini adalah yang pertama berlaku di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua kereta peronda dan juga anggota yang menjalankan tugas rondaan (bit) untuk memantau dan membuat pemerhatian di tempat-tempat ibadat termasuk gereja dan masjid di negeri ini bagi mempastikan tiada kejadian seperti ini berlaku.
"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara seperti ini.
Saya memberi amaran, jangan cuba membuat sesuatu yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan