KOTA KINABALU, 29 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (Cash) pada hari Sabtu meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meningkatkan operasi pemantauan memandangkan masalah ketiadaan gula di Sabah masih berlarutan menjelang ketibaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Presidennya Datuk Patrick Sindu yang juga naib presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata hasil tinjauan dan aduan yang diterima, pihaknya mendapati masalah ketiadaan gula masih berlaku beberapa kawasan di Sabah.
"Walaupun pihak kementerian memberi jaminan, namun masalah kekurangan gula masih dikesan, ada kedai yang tidak ada stok gula langsung," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata pada masa yang sama, harga barang-barang makanan seperti sayur, ikan dan ayam yang dijual di pasar-pasar juga didapati meningkat ketika musim perayaan hampir tiba.
Beliau seterusnya mencadangkan supaya pihak kementerian membuka bilik operasi khusus bagi menerima aduan dan memantau keadaan, termasuk memantau harga barang dan memeriksa bekalan gula di pasaran.
"Jangan hanya tunggu terima aduan baru hendak buat pemantauan, tindakan perlu cepat dan berterusan," katanya.
---------------
P.S. Saya ke kedai-kedai di pekan Ranau pada hari Jumaat lepas langsung tiada jual gula!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan