Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta masyarakat berganding bahu bersama-sama menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kepentingan bersama dan sekaligus berusaha mengurangkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus seperti yang dihasratkan menjelang 2010.
Beliau berkata tanggungjawab mencegah jenayah di seluruh negara bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara bukan sahaja terletak di bahu kerajaan sebaliknya anggota masyarakat perlu memberikan komitmen agar usaha dan pendekatan yang diambil berkesan.
"Saya amat berharap agar setiap anggota masyarakat dapat menyalurkan maklumat dan maklum balas mengenai kawasan-kawasan panas yang perlu diberi perhatian melalui portal iKDN (www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya orang ramai juga boleh menggunakan talian faksimili di nombor 03-88894787 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-3888993 bagi menyalurkan maklumat dan maklum balas berkaitan.
"Maklumat yang disalurkan terus daripada masyarakat adalah amat berguna kepada pihak berkuasa dalam menentukan bentuk tindakan dan gerakan susulan yang boleh dilaksanakan.
"Berdasarkan maklumat itu juga pihak berkuasa boleh merumuskan langkah-langkah pencegahan baru yang diharap dapat membuahkan hasil yang positif," katanya yang turut memberi jaminan bahawa setiap buah fikiran dan sebarang maklumat orang awam itu akan diberi perhatian sewajarnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan agenda menangani jenayah sebagai satu daripada Bidang Hasil Utama Nasional dengan mengurangkan kadar jenayah jalanan 20 peratus pada akhir 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan