Selasa, Mei 26, 2009

SABAH TELAH BELANJAKAN LEBIH SEPARUH PERUNTUKAN PEMBANGUNAN RMK-9.

KOTA KINABALU, 26 Mei (Bernama) -- Sabah telah membelanjakan RM10.656 bilion untuk projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sehingga 30 April, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini.

Katanya, jumlah itu merupakan 54.9 peratus daripada RM19.41 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah.

image"Setakat 30 April bagi tahun ini pula, kita telah membelanjakan RM580,083,623 iaitu 16.55 peratus daripada RM3.5 juta yang diperuntukkan untuk tahun ini.

"Jumlah itu bagi 4,802 projek pembangunan yang mana 1,346 daripadanya dilaksanakan mengikut jadual, 229 dilaksanakan tetapi lewat, dan 1,041 projek pula sudah siap. Selebihnya pula belum dilaksanakan lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri di sini.

Katanya, beliau telah mengarahkan anggota Kabinet negeri dan pegawai berkaitan supaya memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan cepat dan mengekalkan mutu kerja.

"Ini penting kerana kita bukan saja mahu melihat projek itu dapat diselesaikan secepat yang boleh dan mengikut jadual, tetapi mutunya juga mestilah dipelihara supaya tidak terdapat bangunan-bangunan retak," tambahnya.

Musa juga meminta perunding yang dipertanggungjawab dalam pelaksanaan projek pembangunan negeri lebih kerap membuat pemantauan agar kerja yang dilakukan berjalan dengan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan