Jumaat, April 17, 2009

SINDIKET MEMBUAT MYKAD PALSU ?

image

PALSU ... Husaini menunjukkan salah satu Mykad yang disyaki telah diubah-suai serta peralatan membuat dokumen palsu.

17th April, 2009

TAWAU: Tiga pengawal keselamatan ditahan oleh Pasukan Gerakan Marin Tawau (PGMT) ekoran disyaki menggunakan MyKad palsu dan hasil penahanan mereka, PGMT turut menyerbu sebuah rumah di Batu 5, Jalan Apas Tawau dan kemudiannya menemui pelbagai dokumen lain yang turut disyaki palsu.

Dokumen-dokumen yang ditemui terdiri daripada 9 MyKad, 9 keping Kad Pengenalan Bunga Raya, 11 keping lesen memandu, 11 keping lesen memandu kenderaan barang-barang Malaysia (GDL) dan 5 keping lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam.

Turut ditemui ialah 2 unit dater stamp, 1 unit dakwat setem, 10 keping gambar, 85 keping kertas pelekat (laminating film)dan 1 set cop jari.

Pegawai Pemerintah PGMT DSP Husaini Zainal Abidin berkata, kejayaan itu berlaku pada Rabu lepas (15 April 2009) apabila dua anggota PGMT menahan seorang daripada pengawal keselamatan tersebut pada kira-kira jam 7.20 malam, di kawasan berhampiran sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas Tawau.

Hasil pemeriksaan katanya, suspek, 51, telah menunjukkan MyKad bernombor 580102-12-5255, atas nama Ibrahim Damang.

Bagaimanapun, apabila MyKad tersebut diperiksa menggunakan pembaca MyKad, nama yang tertera ialah Konens Mauris dengan nombor MyKad 910602-12-6157.

Berikutan itu, suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan hasil siasatan, polis berjaya menahan suspek kedua yang bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah syarikat gergasi di Batu 5, Jalan Apas Tawau, pada kira-kira jam 8.20 malam, hari yang sama.

Suspek kedua yang berusia 20-an katanya, turut telah menunjukkan seke-ping MyKad bernombor 800308-12-5063 ketika diperiksa, namun cip pada MyKad tersebut tidak dapat dibaca menggunakan pembaca MyKad.

Selain itu katanya, bayangan gambar yang tertera juga tidak jelas sementara perkataan ‘Warganegara’ pada MyKad tersebut tidak tertulis seperti yang sepatutnya.

Husaini memberitahu, pada malam yang sama iaitu kira-kira jam 8.50 malam, PGMT membuat satu lagi serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor, berhampiran Batu 5, Jalan Apas Tawau.

Di rumah itu katanya, pihaknya menahan seorang lagi suspek yang berusia 20-an, setelah dia menunjukkan sekeping MyKad bernombor 840820-12-6197 atas nama Herman Pallu.

Bagaimanapun, wajah di dalam MyKad tersebut tidak menyerupai wajah sebenar suspek.

“Setelah menahan ketiga-tiga mereka, akhirnya sepasukan anggota PGMT menyerbu pula sebuah rumah tidak bernombor, berhampiran di kawasan Kg. Kinabutan, Batu 5, Jalan Apas Tawau pada kira-kira jam 9.30 malam. Serbuan diketuai oleh ASP Krishan a/l Rama-samy,” katanya.

Bagaimanapun begitu ujarnya, tiada sesiapa berada di dalam rumah berkenaan kerana penghuninya dipercayai telah melarikan diri.

Namun demikian, pihaknya katanya berjaya menemui satu bekas plastik putih di kawasan luar rumah, yang mengandungi kesemua dokumen dan peralatan berkenaan.

“Kita percaya ini adalah satu sindiket tetapi kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut. Ketiga-tiga pengawal keselamatan tersebut pula kini ditahan di bawah Peraturan 25 (1) (e), Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” kata beliau.

Husaini turut melahirkan penghargaannya kepada orang awam kerana kejayaan itu jelasnya adalah hasil daripada maklumat yang diberikan kepada pihaknya.

“Bagaimanapun, kita minta masya-rakat terus memberikan kerjasama sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat lain mengenai kes ini,” katanya.

Kesemua dokumen yang dirampas katanya akan diserahkan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan, untuk ditentu-sahkan kesahihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan