Rabu, April 15, 2009

JHEAINS SEDIA BINA MASJID GANTI SURAU DAIF

image KOTA KINABALU 14 April - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sedia membina masjid bagi menggantikan Surau Malanggang, Kiulu yang didakwa berada dalam keadaan daif.

Pengarah JHEAINS, Amri Suratman berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada siasatan khususnya berkaitan status tapak surau berkenaan dan bilangan umat Islam di daerah tersebut.

"Sebelum JHEAINS menyalurkan peruntukan, kita perlu mengetahui status tapak surau berkenaan, adakah milik persendirian atau telah pun diwakafkan untuk didirikan surau.

"Selain itu, jumlah jemaah dan umat Islam di situ juga perlu menepati keperluan pembinaan sebuah masjid," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas rintihan penduduk Islam di kampung Malanggang dan kawasan sekitarnya yang disiarkan Utusan Malaysia semalam kerana terpaksa menggunakan kemudahan surau sedia ada yang didakwa serba kekurangan.

Selain tidak dilengkapi kemudahan asas, struktur surau berkenaan juga uzur dan tidak dilengkapi kemudahan bersolat serta bahan bantuan mengajar untuk saudara baru.

Amri berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan menghantar beberapa pegawai untuk menyiasat dakwaan penduduk dan meneliti keadaan surau berkenaan.

"Kita akan menghantar seorang Penolong Pegawai Tadbir Agama menyiasat perkara ini dengan lebih terperinci dan masalah yang dihadapi.

"Saya menjangkakan laporan terperinci akan siap dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan jika laporan yang diterima menepati syarat untuk kita mendirikan masjid, tiada masalah kita untuk berbuat demikian," katanya.

Mengenai dakwaan pihaknya mengabaikan pembangunan dan penyelenggaraan surau berkenaan, Amri berkata, masalah utama surau kampung Malanggang itu terbiar kerana surau berkenaan tidak didaftarkan di bawah JHEAINS.

Katanya, ini menyukarkan pihaknya menyalurkan bantuan kerana ia tidak berada dalam senarai perancangan pembangunan.

"Kalau sesuai dan memenuhi syarat, kita akan masukkan dalam senarai perancangan pembangunan dan ini akan membolehkan surau berkenaan menerima bantuan selenggara,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan