Isnin, Disember 17, 2012

"TOLERANSI TERHADAP RASUAH KELIHATAN SEMAKIN TINGGI HINGGA SAMPAI KE PERINGKAT DITERIMA SEBAGAI KEPERLUAN DALAM TADBIR URUS INSTITUSI DAN SYARIKAT.” – NAZRIN

Raja Nazrin kesal usaha perangi rasuah masih retorik

Raja Nazrin

CYBERJAYA - Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah menyatakan kekesalan baginda apabila melihat usaha menghapuskan rasuah yang kerap kali dilaungkan banyak pihak dan diisytiharkan wajib diperangi masih berlegar di peringkat retorik.

Dalam titah perasmiannya sempena di Konvensyen Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini, kelmarin, baginda menegaskan bahawa rasuah adalah perbuatan khianat dan dilakukan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan impak kerosakan, kemusnahan dan lain-lain kepada institusi, negara serta alam maya.

Katanya, semua kerajaan mengkategorikan rasuah sebagai barah yang wajib dicegah dan ditegah, malah semua insan menganggap amalan itu jijik serta lantang mengutuk rasuah, namun secara tersirat masih mengamalkan rasuah.

"Rasuah telah menjadi sebahagian dari darah daging mereka, berperanan sebagai talian hayat untuk membolehkan mereka hidup secara mewah dan megah. Perlakuan rasuah kini tidak malu untuk dilakukan, malah semakin diterima dalam norma urus niaga.

"Toleransi terhadap rasuah kelihatan semakin tinggi hingga sampai ke peringkat diterima sebagai keperluan dalam tadbir urus institusi dan syarikat. Sudah ada pihak yang mengiktiraf perbelanjaan bagi tujuan rasuah adalah satu keperluan," titahnya.

Baginda menegaskan, rasuah membawa impak negatif dan secara langsung membantutkan pertumbuhan serta pembangunan ekonomi yang mana Bank Dunia menganggarkan berlaku kebocoran 0.5 peratus ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia disebabkan rasuah.

Jelasnya, kajian Bank Dunia menunjukkan rasuah turut menurunkan tahap kecekapan pengeluaran, memberi lebihan tidak saksama dan melemahkan daya saing, serta menghalang tahap kelajuan kemajuan.

"Tambahan, amalan rasuah seumpama mempersendakan kedaulatan undang-undang, melemahkan institusi awam, mencabar prinsip demokrasi serta memudahkan perlakuan jenayah. Piagam, undang-undang, deklarasi dan kenyataan untuk menghapuskan rasuah terus diperkenalkan, namun pengamal rasuah terus bertambah.

"Malaysia tidak terlepas dari bahana rasuah. Indeks persepsi rasuah yang baru diumumkan meletakkan Malaysia di tangga ke-54 daripada 174 negara. Pencapaian 49 markah belum membolehkan sesebuah negara selesa, apatah lagi kedudukan di tangga ke-54," katanya.

Baginda menambah, imej rasuah di Malaysia masih menghadapi persepsi negatif dan status yang dicapai tidak sepadan dengan usaha yang dilaksanakan.

Tegas baginda, memerangi rasuah adalah agenda nasional dan mengukuhkan integriti merupakan hasrat, impian serta matlamat negara, malah menjadi matlamat keempat Wawasan 2020.

"Dunia menuntut amalan integriti, terutama dalam kalangan pemimpin tertinggi. Integriti terlalu penting dan prinsipnya sama sekali tidak boleh diketepikan yang mana menjadi satu kemestian serta tonggak membina budaya tadbir urus yang baik.

"Dalam hasrat memartabatkan imej negara bangsa, integriti bukan satu opsyen tetapi menjadi satu amal wajib. Kelangsungan sebuah kerajaan tidak mungkin dapat dipertahankan tanpa budaya integriti yang tinggi," tegas baginda.

Raja Nazrin turut menyatakan, negara tidak ketandusan mekanisme perundangan dan penguatkuasaan untuk memastikan integriti tidak dinodai, sebaliknya isu yang dihadapi adalah jurang pencapaian.

Baginda juga menyifatkan langkah kerajaan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta program pembinaan kuarters kakitangan awam, termasuk Klinik 1 Malaysia, sebagai langkah tepat untuk menangani isu integriti serta isu sosial lain.

Diakhir titahnya, Raja Nazrin mengajak semua pihak mengenali asal usul penciptaan manusia serta menghayati kedatangan hari Akhirat, bagi membina dan mengukuhkan integriti dalam diri.

WARTAWAN SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan