Ahad, September 23, 2012

SINDIKET PALSU DOKUMEN KAUT JUTAAN RINGGIT

Sindiket palsu dokumen kaut jutaan ringgit

Kuala Lumpur 2012/09/22: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan pemalsuan dokumen pekerja asing selepas menyerbu sebuah pejabat di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Serbuan jam 4 petang, berdasarkan maklumat seorang lelaki warga Pakistan berusia 24 tahun yang ditahan di Seremban, kelmarin selepas membayar RM17,000 bagi mendapatkan pas pekerja dagang sebagai jurutera di sebuah syarikat di Melaka.

Hasil siasatan suspek yang berniaga pakaian di sebuah pusat beli-belah di Seremban membeli pas itu untuk berada di Malaysia lebih lama.

Temui ribuan dokumen

Hasil serbuan ke atas pejabat mirip pejabat dokumentasi Imigresen itu turut menemui ribuan pasport, surat kelulusan visa dan surat akuan penerimaan yang dipalsukan, dokumen sulit ratusan syarikat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan cop syarikat palsu.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman, berkata sindiket yang turut didalangi seorang lelaki warga Pakistan itu dilaporkan beroperasi sejak 2008 dan mengaut keuntungan jutaan ringgit selepas menawarkan khidmat visa atau kebenaran pekerja dagang sesebuah syarikat tanpa pengetahuan pemilik syarikat sebenar.

“Kesalahan ini akan dikesan apabila pemilik syarikat membuat aduan kepada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai nama pekerja yang tidak pernah wujud di syarikat mereka sebaliknya didaftarkan mengikut visa pekerja dagang sebagai kakitangan profesional di syarikat berkenaan.

Bayar RM20,ooo

“Kebanyakan mereka membayar wang antara RM12,000 hingga RM20,000 bagi mendapatkan visa berkenaan untuk tinggal lebih lama di sini sebagai pekerja profesional tetap menjalankan aktiviti perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui dalam serbuan berkenaan.

Katanya lagi, aktiviti yang dijalankan agen tidak sah seperti itu boleh mengancam keselamatan negara kerana lambakan pekerja warga asing khususnya dari Pakistan yang tinggal di negara ini.

Dalam serbuan itu, 10 lelaki Pakistan dan seorang lelaki warga India berumur antara 35 hingga 60 tahun ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 40 tahun yang dipercayai pembantu kepada dalang utama warga Pakistan yang juga pemilik syarikat berkenaan.

Suspek utama yang dilaporkan berada di sebuah hospital swasta di Jalan Ampang bagi mendapatkan rawatan selepas terbabit dalam kemalangan dilaporkan melarikan diri sejurus mengetahui pegawai Imigresen menyerbu pejabatnya.

Faizal berkata, Imigresen ingin mencari warga Pakistan, Noman Ahmed Hafiz Jannat Hussain, 36, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Safeek Affendy Razali dan Fitri Nizam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan