Selasa, Mei 22, 2012

JIKA SABAH MERUPAKAN SEBUAH NEGARA, IA MERUPAKAN PENGELUAR KELAPA SAWIT KETIGA TERBESAR DI DUNIA.

Sabah Bakal Jadi Pengeluar Kelapa Sawit Ketiga Terbesar Di Dunia

LABUAN, 22 Mei (Bernama) -- Jika Sabah merupakan sebuah negara, ia merupakan pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar di dunia.

Kenyataan itu merupakan petunjuk penting mengenai peranan yang dimainkan oleh kelapa sawit dalam pertumbuhan negeri ini setakat ini - dan apa yang ada untuk masa depan.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada 2009, Sabah mempunyai kawasan penanaman kelapa sawit terbesar berbanding negeri lain, seluas 1.36 juta hektar daripada 4.69 juta hektar keluasan tanaman di seluruh negara.

Hasil juga secara umumnya lebih kukuh pada purata 4.3 tan sehektar pada 2010 - tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Sabah Timur dikenal pasti sebagai lokasi baik untuk kelapa sawit, terutama di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

"Kawasan itu menempatkan ladang paling banyak dan pekebun kecil paling ramai dengan dua projek hiliran yang menyediakan perkhidmatan hiliran moden untuk sektor berkenaan," kata Jerel Soo, Pengarah Urusan Fireworks Event (M) Sdn Bhd, kumpulan perunding pengurusan acara, yang pakar dalam pameran kelapa sawit.

Beliau berkata kelapa sawit yang merupakan antara NKEA (bidang ekonomi utama negara) kerajaan pusat, bermakna sektor ini akan mendapat perhatian khas menerusi program dan insentif pada tahun-tahun akan datang.

"Oleh itu kami dalam usaha untuk membantu menganjurkan Pameran Minyak Sawit (Palmex) 2012 terbesar bagi membantu membawa masuk lebih banyak perniagaan kepada penggiat tempatan," katanya.

Soo mengesahkan sejumlah 130 ruang pameran, dengan lebih 80 membabitkan pameran luar negara. Kerajaan Singaprua memberi subsidi kepada lebih 10 syarikat untuk mempromosi teknologi hiliran dalam industri kelapa sawit.

"NKEA meliputi segala-galanya, dari penanaman pokok sehingga industri hiliran moden seperti oleokimia, selain meningkatkan bilangan aplikasi yang dilihat sebagai produk buangan seperti tandan buah kosong.

"Meningkatkan sektor ini bermakna menangani beberapa cabaran utama. Isu seperti kekurangan tanah di Sabah, cabaran mendapatkan pekerja mahir, kurang mekanisme dan sebagainya, akan menjejaskan pertumbuhan sektor ini, dan ini memberi perhatian khusus.

"Bagi menangani perkara ini, beberapa inisiatif penting sudah disediakan menerusi NKEA dalam projek permulaan," katanya.

"Kami difahamkan kerajaan akan melaksana skim penanaman semula. Menerusi skim ini, semula pokok yang berusia lebih 25 tahun akan digantikan.

"MPOB akan menyediakan sokongan kewangan untuk pekebun kecil menanam semula dengan pokok jenis baharu, yang mengeluarkan hasil yang lebih banyak. Kira-kira RM1 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini," katanya.

Industri kelapa sawit Sabah dijangka mencatat perkembangan utama yang baharu yang dijangka memberi impak kepada penggiat industri, seperti penanam dan pengeksport.

Sementara itu, Soo berkata proses hiliran merupakan satu lagi segmen yang mendapat perhatian.

"Pentingnya industri minyak sawit kepada Sabah tidak boleh semata-mata diukur berdasarkan aliran perolehan langsung yang dijana memandangkan ia memberi sumbangan yang jauh lebih besar dan penting kepada negeri ini," katanya.

"Industri minyak sawit perlu memain peranan utama berdasarkan hubungannya dengan sektor lain - daripada teknologi kepada pembinaan dan pengeluaran - dan yang pasti, saiz industri yang besar berbanding sektor lain di Sabah."

Kelompok Industri Kelapa Sait Kinabalu Bhd (POIC) Lahad Datu juga mempromosi industri berkenaan yang akan menggunakan jumlah biomas yang dihasilkan dari ladang sawit di Sabah.

Sebuah syarikat pengeluar tenaga bebas telah mengambil inisiatif dalam menjadikan POIC lebih mesra alam sekitar dengan menandatangani perjanjian untuk menjana tenaga dan stim di tapak berkenaan menggunakan biomas.

"Pelabur seperti ini dapat menyelesaikan dua masalah di POIC, menyediakan sumber tenaga yang boleh dipercayai dan menggunakan banyak bentuk sisa buangan yang dihasilkan menerusi proses itu."

Hasilnya, POIC Sabah juga boleh menjangkakan pelabur akan datang dan menambah nilai dalam industri kelapa sawit di sini.

Oleh Jailani Hassan

----------

Sabah may become No.1 ginger State

Tiada ulasan:

Catat Ulasan